CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Wednesday, March 19, 2008

Puisi - MAAF

Ni adalah salah satu antara 10 puisi yang dihasilkan oleh saya sendiri untuk menyiapkan
tugasan doktor Shamsina...

Maaf
Adakalanya sukar dilafazkan
Adakalanya sukar dimengertikan
Kerna diri merasakan
Masih adakah nilainya
Atau sekadar ucapan
Yang meluncur tanpa makna
Hanya penyedap kata
Sedang hati tidak sekelumit jua
Merasakannya

Maaf
Adakalanya terlafaz tanpa paksa
Hanya untuk menyedapkan bicara
Agar tiada sengketa berpanjangan
Dan hati tidak terusan terusik
Sedang jiwa tidak sedikit pun
Memikirkannya

Maaf
Jika datang dari jiwa
Terbitnya dari hati
Ucapannya bias menggetarkan
Meluluhkan nurani ini
Walau sepejal tembok batu
Walau sekeras besi padu
Seperti titisan air
Lembut tapi bisa melekukkan

Wednesday, March 12, 2008

TERIMA KASIH AYAH

Ayah, itulah panggilan yang ku panggil setiap hari. Namamu ayah sentiasa segar diingatanku. Di saat ini aku terlalu merinduimu. Ketahuilah ayah anakmu ini benar-benar berasa bangga kerana mempunyai seoran ayah sepertimu. Yang sentiasa menyokongku dari belakang. Yang sentiasa mendoakan kesejahteraan anak-anaknya dan sentiasa memberi nasihat yang sama setiap hari.

Tetapi…aku tau ayah, tujuanmu adalah untuk melihat anakmu ini hidup bahagia dan menjadi insane yang berguna. Terima kasih ayah, kaulah selama ini peniup semangatku, semangat untuk aku teruskan kehidupan ini dengan tenang dan sabar.

Kini aku sedar ayah, nasihat-nasihat yang kau berikan padaku itu amatlah berguna pada diriku. Kerana aku tahu ayah tetap sayang padaku buat selama-lamanya. Terima kasih sekali lagi di atas setiap pengorbanan dan kasih sayang yang kau curahkan padaku semenjak kelahiranku sehingga kini aku menjadi seorang terpelajar. Semoga hidup ayah bersama mama akan sentiasa diberkati Allah S.W.T. Terima kasih wahai ayah!

POSITIFKAN DIRI SENDIRI

Suatu ketika dulu, saya adalah seorang yang sangat lemah daripada segi ketahanan mental. Terlalu mudah tewas dalam cabarn dan sangat takut untuk berhadapan dengan khalayak. Sewaktu di sekolah menengah, saya selalu berasa rendah diri. Saya pernah memegang jawatan sebagai pengawas sekolah ketika di tingkatan empat. Tetapi, itu masih tidak membantu saya menghilangkan rasa rendah diri yang tertanam. Saya sendiri kurang pasti kenapa. Lantaran itu, saya sentiasa berwajah muram dan amat sukar memberi senyuman kerana saya sendiri tidak tahu bagaimana untuk senyum. Natijahnya, saya sukar untuk didekati, apatah lagi untuk bergaul mesra dan sering memerap di dalam kelas saja.

Namun, setelah melangkah kaki ke institusi pengajian tinggi, saya berubah sedikit demi sedikit. Pada awal semester pengajian, saya menghadapi masalah kawan-kawan sekolej. Tetapi masuk sahaja semester kedua, saya mula rapat dengan kawan-kawan yang amat berbeza karakter dengan saya. Kami tinggal di kolej yang sama lantas menjadi akrab dalam masa yang singkat. Sedikit demi sedikit saya cuba menghakis sikap negatif sebelum ini dan memulakan hidup baru dengan membina personaliti baru. Sikap pentingkan diri, cepat marah dan murung saya cuba ketepikan.

Setiap perkara yang dirancang harus menjadi kenyataan. Itu perkara utama yang saya pegang sehingga kini. Saya juga belajar mengatakan “tidak” kepada kemutahilan dengan menjadi pelajar yang penuh dengan keyakinan semasa program Finishing School yang diadakan di fakulti baru-baru ini. Jika dilihat pada permulaannya, saya seakan-akan terpaksa untuk menyertai program ini, tetapi atas desakan itulah saya belajar untuk menilainya sebagai sesuatu yang positifkan diri saya. Saya cuba mencipta keberanian serta keyakinan diri melaluinya.

Sesetengah orang mendapat motivasi melalui pelbagai cara seperti kem-kem bina semangat yang dihadiri atau buku-buku motivasi. Sebenarnya ada banyak cara untuk memperoleh keyakinan diri kerana ia ada di mana-mana walaupun ketika kamu menonton filem!

Sehingga kini saya masih menyimpan sesal kerana tidak menjadi ramah dan murah senyum semasa amalan ketika dibangku sekolah. Setiap senyuman yang dihadiahkan pasti akan meninggalkan impakpositif kepada sesiapa yang menerima. Justeru, jadilah orang yang murah senyuman kerana ia boleh menjadi permulaan hari yang baik kepada anda atau orang yang menerima. Dan saya pun telah menemui ‘keajaibannya’!

Kamu boleh Kawal MARAH

Setiap orang pasti pernah berasa marah. Cuma sebab dan tahap kemarahan itu yang berbeza. Jika kamu tidak pandai mengawal marah, nescaya akibatnya amat buruk. Tetapi, tahukah kamu cara mengawal marah? Salah satu caranya adalah dengan mengenali sifat buruk ini. Pasti kamu akan berfikir dua kali sebelum menghempas barang atau menghambur kata-kata kesat ketika kamu marah.

Tiga kelompok manusia berkaitan sifat marah :

Golongan pertama- TAFRITH – Kelompok manusia yang langsung tidak memiliki sifat marah. Dia tidak bereaksi marah terhadap perkara yang berlaku di sekelilingnya. Kelompok ini sama sekali tidak memiliki sikap pembelaan terhadap kebenaran. Malahan, dia tidak berasa sensitif atau tersinggung apabila musuh-musuh Islam memeprmainkan agamanya.

Golongan Kedua- IFRATH – Kelompok manusia yang tidak dapat mengawal perasaan marah. Mereka juga bertindak balas dengan melampau sehingga hilang kawalan akal waras. Kumpulan manusia ini lazimnya akan berteriak dengan suara kuat serta mengeluarkan kata-kata kasar dan kesat. Ada ketikanya mereka sanggup menggunakan kekerasan dan keganasan sehingga terjadi pertumpahan darah.

Golongan Ketiga – I’TIDAL – Iaitu golongan yang bersikap sederhana di antara Tafrith dan Ifrath. Mereka hanya akan marah dalam situasi yang sesuai sahaja. Kedudukan akal masih dapat menguasai diri dan mereka sentiasa mengikuti batasan-batasan yang telah ditetapkan oleh syarak. Inilah sikap pertengahan yang adil dan terpuji, malah merupakan ciri-ciri umat Nabi Muhammad s.a.w iaitu umat yang bersikap penuh kesederhanaan dalam semua perkara.


Kesan Marah

Memisahkan ibu dan anak
merenggangkan persahabatan
menjauhkan keadilan
membawa kepada kemurungan dan kekecewaan
membawa kepada kegilaan dan akhirnya membawa kepada penyesalan yang tidak terhingga
menyebabkan penyakit yang berisiko, kemusnahan dan peperangan



Sumber : Majalah Dara Keluaran Februari 2008

JUTAWAN MUDA : FANTASI ATAU REALITI?

Adakah mahu jadi kaya? Jika 10 orang diajukan soalan itu, mungkin lapan daripadanya akan mengangguk setuju. Siapalah yang tidak mengangankan kehidupan yang mewah, serba cukup dalam segala aspek tanpa perlu bersusah payah mengikat perut mencatu perbelanjaan.

Wang sering dilabelkan sebagai kotor dan simbol korupsi. Wang adalah berstatus “amoral” bermaksu ia tidak tertakluk kepada moral baik atau buruk. Manusia sebenarnya yang menentukan sama ada ia ‘baik’ atau ‘buruk’. Wang boleh menjadi baik sekiranya digunakan untuk kebaikan atau kebajikan dan boleh berlaku sebaliknya.

Status jutawan bukan diukur daripada daripada perolehan pendapatan. Sebaliknya,kekayaan sebagi jutawan diambil kira apabila individu itu mempunyai aset bersih bernilai sekurang-kuranya 1 juta setelah ditolak daripada liability (tanggungan).
Sesiapa pun tidak mustahil untuk meraih status jutawan.

Dalam konteks kekayaan, motivasi dalaman untuk kaya merujuk kepada “kehendak yang membara” dalam kata lain sentiasa berkehendakkan kejayaan. Hal ini kerana, orang yang menjadi jutawan kerana tiada syarat yang tersendiri.

Contohnya, jutawan terkenal mendiang Lim Goh Tong. Sebelum beliaumembina empayar Genting yang terkenal itu, mendiang sudah sedia seorang jutawan multi. Projek Genting hanya dimulakan apabila usia beliau mencecah 50 tahun. Tidak ramai yang tahu fakta ini kerana kemasyhuran Genting lebih banyak membayangi jejak kejayaan beliau sebelum itu. Kita tentu akan terfikir, buat apalah seorang yang sedia jutawan bersusah-payah mengusahakan projek sedemikian, bukan?

Penguasaan ilmu dan disiplin diletakkan sebagai syarat kedua. Tanpa ilmu dan disiplin, sukar bagi seseorang itu untuk mencapai impian jutawannya. Syarat seterusnya adalah bekerja keras di tempat yang betul. Bidang perniagaan merupakan bidang yang amat sesuai sekali untuk menjana pendapatan yang lebih. Perniagaan adalah medan tempur yang betul untuk menjadi jutawan.

Secara keseluruhannya, semua orang boleh jadi jutawan jika berkehendak, berdisiplin dan bekerja keras secara bijak. “To be a millionaire is not easy but it is not as hard as what you think”.




Sumber : Majalah Dara keluaran Januari 2008




Saya kagum dengan remaja yang mampu mencipta kejayaan dalam usia yang muda. Lebih-lebih lagi jika diktiraf sebagai jutawan dalam usia yang muda. Tambah mencabar jika dia mampu meraih gelaran itu walaupun masih menuntut. Tentu sahaja ia memerlukan ketahanan dan kecekalan mental dan fizikal. Saya sendiri jika diberi peluang untuk mencuba, tidak akan mensia-siakan peluang ini. Peluang menuntut di Universiti Putra Malaysia (UPM), selain untuk menimba ilmu, saya gunakan untuk mencari pengalaman yang akan membantu saya apabila tamat belajar kelak. Bagi saya, peluang yang ada jangan dibiarkan, lebih-lebih lagi dunia sekarang yang semuanya memerlukan duit. Saya juga percaya jika ingin berjaya, kita perlu bermula dari bawah. Bak kata orang ‘berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian’. Di sini saya mengikuti kursus Bahasa Melayu dan Linguistik. Semoga sedikit sebanyak yang saya belajar sehingga hari ini boleh saya gunakan untuk masa hadapan saya.

Wednesday, March 5, 2008

"Membudayakan membaca..."

Membudayakan membaca

Oleh AZLINARIAH ABDULLAH (WARTAWAN UTUSAN)

PERTIMBANGKAN situasi ini. Kita selalu bimbang jika anak-anak kita tidak mendapat makanan seimbang. Kita juga akan lebih gusar kalau anak-anak itu tidak mahu makan.
Dan jawapan kepada kekhuatiran dan kegusaran itu tentunya berlegar sekitar alasan, anak yang tidak makan dan memakan makanan seimbang itu membesar tanpa sihat tubuh badannya.
Akui pula hakikat ini. Jarang sekali ada ibu bapa yang cemas kalau anak-anak itu tidak membaca atau hanya sedikit membaca, barangkali disebabkan keperluan sewaktu menjelang peperiksaan.
‘‘Tidak ramai yang mahu menerima fakta bahawa membaca buku itu boleh membina minda berilmu, saling tidak tumpah peranan makanan berkhasiat untuk menghasilkan badan sihat,’’ kata Pengerusi Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM), Tan Sri Rafie Mahat.
Perumpamaan dan perbandingan buku-makanan seimbang itu seingat penulis telah banyak kali diulang-ulang. Dan tanpa mahu menjadi retorik, tulisan mengenai kepentingan membaca juga turut ditulis, diingat dan diulang berkali-kali.
Lebih daripada itu juga, kebaikan membaca buku itu turut diangkat sama penting dengan senaman.
Apakah bezanya orang bersenam dengan tidak bersenam dan apa pula persamaan orang makan makanan seimbang dengan tidak?
Sudah tentu banyak perbezaannya. Orang tidak bersenam, tidak akan sihat badannya, orang yang makan makanan kurang seimbang akan lemah fizikalnya.
Kalau sudah mendapat perbezaan dan persamaannya, kita barangkali terfikir sejenak, benar, membaca buku itu sama penting senaman dan makanan seimbang.
Dan sekali lagi tanpa mahu menjadi retorik, jarang di kalangan kita yang mahu mengaku hakikat itu sungguhpun dapat menerima apa yang akan berlaku kepada anak-anak kalau tidak makan dengan seimbang atau malas bersenam.
Lalu, Program Gerak Baca 2007 yang dilancarkan Jumaat lalu dan berlangsung sehingga hari ini adalah ruang terbaik untuk sama-sama kita merenung tabiat membaca kita selama ini.
Kempen itu anjuran MBKM, Perpustakaan Negara, Kementerian Pelajaran dan Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia digerakkan dengan hasrat yang cukup murni iaitu mahu menyedarkan masyarakat Malaysia tentang kepentingan membaca dan berilmu serta mengamalkan membaca pelbagai sumber ilmu sebagai budaya dan gaya hidup seharian.
“Mudah-mudahan amalan membaca ini akan menjadi tabiat sepanjang hayat. Dengan kata lain, ia jadi budaya kita semua,” kata Rafie yang ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.
Bercerita mengenai tabiat dan tahap membaca, tanpa satu kajian yang mendalam sekalipun, kita sedia maklum bahawa tahap membaca di kalangan masyarakat di negara ini begitu rendah dan cukup menyedihkan.
Pada sekitar akhir tahun 1980-an, statistik yang direkodkan ialah orang kita hanya membaca purata satu halaman setahun. Dan kalau mahu dibuat kajian sekarang ini pun, angka itu barangkali tidak banyak jauh berubah, walaupun indeksnya ada meningkat sedikit hasil beberapa inisiatif pelbagai pihak berkaitan.
Kempen Gerak Baca 2007 memberikan tumpuan kepada semua pihak, khususnya golongan remaja serta ibu bapa.
Oleh itu, ada program Karnival Buku, Program Derma Buku, Kelab Buku Malaysia, Ekspo Buku dan sebagainya.
Paling menarik Hari Keluarga@Karnival Buku yang turut memasukkan peraduan membaca dan bercerita - Ibu Bapa & Anak, Ikon Hari Ini, yang menampilkan seniman Datuk Jins Shamsudin, Bacaan Kegemaran Saya oleh novelis remaja, Ahadiat Akashah dan Sembang Ilmu bersama Datuk Rahim Razali, Ally Iskandar dan Norzizi Zulkifli.
Pemilihan program-program itu adalah difikirkan sesuai untuk remaja serta dikhususkan kepada ibu bapa yang menjadi pihak paling penting untuk menanam aspek yang harus ada dalam generasi muda negara demi melahirkan modal insan yang berkualiti.
Ibu bapa juga pihak yang perlu menanamkan kesedaran yang tinggi di kalangan anak-anaknya untuk menjadikan membaca sebagai budaya atau satu gaya hidup.
‘‘Kempen seperti ini bukanlah sesuatu yang baru tetapi sudah digerakkan sejak beberapa tahun yang lalu,’’ Rafie mengingatkan sebelum menambah, untuk menjadikan ia satu budaya, kempen dan pendekatannya perlu diulang-ulang, tidak terkecuali kempen membaca.
‘‘Bahawa membaca adalah satu tabiat yang murni yang patut ada pada diri setiap anggota masyarakat adalah kenyataan yang sudah banyak diulang-ulang.
‘‘Biar berapa banyak kali diulang pun, orang masih menganggap membaca itu sebagai satu kerja mengisi masa lapang, dan bukan sebagai satu tanggungjawab untuk meningkatkan keterampilan diri.’’
Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam ucapan perasmiannya pada Jumaat lalu pula berkata, kerajaan telah melakukan banyak perkara untuk menyedarkan masyarakat tentang kepentingan tabiat itu.
‘‘Namun perangkaan menunjukkan kita belum setanding dengan negara maju lain.
‘‘Bagaimana kita ingin menguasai dunia tanpa sempadan ini andainya rakyat masih rendah tahap pembacaannya dan rendah juga mutu bahan yang dibaca,’’ katanya.
Itulah juga dilema yang dihadapi oleh kempen seperti Program Gerak Baca 2007 ini, yang digerakkan untuk mengubah pemikiran masyarakat supaya cintakan buku.
Tetapi kalau kita bersetuju, tiada siapa boleh memaksa kita membaca - tidak juga mana-mana kempen yang telah digerakkan selama ini.
Dan barangkali masanya sudah sampai untuk kita menukar corak pendekatan menarik orang supaya lebih minat membaca.
‘‘Mungkin pada masa akan datang kita boleh mencuba apa yang dilakukan oleh beberapa bandar raya maju di dunia yang mengadakan program membaca sebuah buku selama seminggu atau sebulan.
‘‘Tetapi kita juga telah adakan sebelum ini, Bulan Membaca, apa yang diperoleh, masyarakat kita barangkali membaca untuk bulan itu sahaja dan melupakan buku selepas bulan lain mengambil tempat. Kita tidak mahu seperti itu, kita hendak membaca jadi budaya sepanjang hayat.’’
Dan itulah sebabnya ia berbalik semula kepada kempen yang paling berkesan – tentulah yang digerakkan oleh ibu bapa sendiri di rumah masing-masing, tegas Rafie lagi, yang juga merupakan Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP).
Katanya, anak-anak perlu ditunjukkan bahawa membaca itu bukan hanya untuk masuk peperiksaan.
Apabila anak-anak melihat ibu bapa yang dekat dengan buku, mereka sendiri akhirnya akan terbiasa dan tidak kekok memegang buku, baik sebelum tidur, ketika menunggu bas atau sambil menunggu kawan di kedai atau restoran makanan segera.
Dengan kata lain, menurut beliau, buku harus menjadi satu benda yang hidup dalam diari harian mereka – sebagai hadiah hari jadi, cenderamata atau sebagai bahan perbualan seisi keluarga.
‘‘Hanya dengan itu saja kita dapat melahirkan masyarakat yang menjadikan membaca sebagai satu gaya hidup mereka - apabila perubahan kecil di rumah secara kolektifnya akan menjadi perubahan dalam masyarakat dan negara,’’ ujarnya.



-Bagi saya, membaca amat penting.Kepentingan membaca di kalangan masyarakat wajar dipupuk menerusi pelbagai mekanisme, antaranya menerusi peranan media massa, pelaksanaan kempen dan sebagainya.Bagaimanapun, sikap menolak atau tidak suka membaca kini menjadi ancaman kepada sebahagian besar pelajar hari ini.Memang kecewa apabila melihat mereka lebih suka menghabiskan masa dengan sia-sia sama ada berborak kosong atau menonton televisyen.Lebih menyedihkan apabila mereka lebih gemar membeli atau menumpukan perhatian pada bahan yang tiada kaitan dengan pelajaran seperti komik dan novel picisan berbanding buku akademik.Bukan tidak boleh membacanya namun, ia tidak membantu mengembangkan minda sedangkan salah satu matlamat membaca adalah untuk memperkukuhkan ilmu dan kemahiran berfikir secara kreatif, kritis selain membantu dalam peperiksaan.Sokongan ibu bapa juga dialu-alukan seperti kerap membelikan buku bacaan berfaedah atau rajin membawa ke gedung buku. Ini secara tidak langsung boleh mencambah minat selain memantapkan kemahiran dalam pencarian ilmu.Oleh itu sekiranya ada tanggapan berbeza mengenai kepentingan membaca ini, ia perlu diubah kerana hanya dengan pembacaan saja, pencarian ilmu, pembinaan minda serta kemahiran akan tercapai.

Nasihat saya, teruskan membaca!

Langkawi???

Bagi saya Langkawi ni salah satu tempat yang menarik utk bercuti. Saya pernah pergi dengan keluarga dan kawan-kawan.Dulu semasa bercuti bersama kawan-kawan, kami pergi menginap di hotel Region. Tempat dia cantik juga la dan dekat sangat kalau nak pergi membeli belah di Pekan Kuah. Tapi kalau untuk berehat tu memang sesuai la.Bab sewa kereta memang kena hati-hati sebab kadang-kadang orang di langkawi ni suka ambil kesempatan kalau tahu kita ni orang luar. Bab-bab makan plak senang je nak cari sebab kat langkawi ni pergi mana-mana je ada tempat makan...sesiapa yang kuat makan tu tak payah risau la..

Masa saya pergi dengan family, percuma je sebab sepanjang perjalanan ditanggung beres..hehe..Jalan cerita di Langkawi sama sewaktu saya pergi dengan kawan-kawan..cuma yang bezanya tempat menginap la..saya menginap di hotel Langkasuka masa ni.. pergi jalan-jalan yang syoknya beli barang-barang, mama dan ayah saya yang keluarkan duit..hihi

Kalau nak bergambar-gambar, pergila dataran helang..bergaya la macammana pun, orang takkan hairan sebab memang dataran helang ni untuk bergambar kenang-kenangan.pergila beramai-ramai..feri murah jer..huhu