CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Wednesday, March 5, 2008

"Membudayakan membaca..."

Membudayakan membaca

Oleh AZLINARIAH ABDULLAH (WARTAWAN UTUSAN)

PERTIMBANGKAN situasi ini. Kita selalu bimbang jika anak-anak kita tidak mendapat makanan seimbang. Kita juga akan lebih gusar kalau anak-anak itu tidak mahu makan.
Dan jawapan kepada kekhuatiran dan kegusaran itu tentunya berlegar sekitar alasan, anak yang tidak makan dan memakan makanan seimbang itu membesar tanpa sihat tubuh badannya.
Akui pula hakikat ini. Jarang sekali ada ibu bapa yang cemas kalau anak-anak itu tidak membaca atau hanya sedikit membaca, barangkali disebabkan keperluan sewaktu menjelang peperiksaan.
‘‘Tidak ramai yang mahu menerima fakta bahawa membaca buku itu boleh membina minda berilmu, saling tidak tumpah peranan makanan berkhasiat untuk menghasilkan badan sihat,’’ kata Pengerusi Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM), Tan Sri Rafie Mahat.
Perumpamaan dan perbandingan buku-makanan seimbang itu seingat penulis telah banyak kali diulang-ulang. Dan tanpa mahu menjadi retorik, tulisan mengenai kepentingan membaca juga turut ditulis, diingat dan diulang berkali-kali.
Lebih daripada itu juga, kebaikan membaca buku itu turut diangkat sama penting dengan senaman.
Apakah bezanya orang bersenam dengan tidak bersenam dan apa pula persamaan orang makan makanan seimbang dengan tidak?
Sudah tentu banyak perbezaannya. Orang tidak bersenam, tidak akan sihat badannya, orang yang makan makanan kurang seimbang akan lemah fizikalnya.
Kalau sudah mendapat perbezaan dan persamaannya, kita barangkali terfikir sejenak, benar, membaca buku itu sama penting senaman dan makanan seimbang.
Dan sekali lagi tanpa mahu menjadi retorik, jarang di kalangan kita yang mahu mengaku hakikat itu sungguhpun dapat menerima apa yang akan berlaku kepada anak-anak kalau tidak makan dengan seimbang atau malas bersenam.
Lalu, Program Gerak Baca 2007 yang dilancarkan Jumaat lalu dan berlangsung sehingga hari ini adalah ruang terbaik untuk sama-sama kita merenung tabiat membaca kita selama ini.
Kempen itu anjuran MBKM, Perpustakaan Negara, Kementerian Pelajaran dan Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia digerakkan dengan hasrat yang cukup murni iaitu mahu menyedarkan masyarakat Malaysia tentang kepentingan membaca dan berilmu serta mengamalkan membaca pelbagai sumber ilmu sebagai budaya dan gaya hidup seharian.
“Mudah-mudahan amalan membaca ini akan menjadi tabiat sepanjang hayat. Dengan kata lain, ia jadi budaya kita semua,” kata Rafie yang ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.
Bercerita mengenai tabiat dan tahap membaca, tanpa satu kajian yang mendalam sekalipun, kita sedia maklum bahawa tahap membaca di kalangan masyarakat di negara ini begitu rendah dan cukup menyedihkan.
Pada sekitar akhir tahun 1980-an, statistik yang direkodkan ialah orang kita hanya membaca purata satu halaman setahun. Dan kalau mahu dibuat kajian sekarang ini pun, angka itu barangkali tidak banyak jauh berubah, walaupun indeksnya ada meningkat sedikit hasil beberapa inisiatif pelbagai pihak berkaitan.
Kempen Gerak Baca 2007 memberikan tumpuan kepada semua pihak, khususnya golongan remaja serta ibu bapa.
Oleh itu, ada program Karnival Buku, Program Derma Buku, Kelab Buku Malaysia, Ekspo Buku dan sebagainya.
Paling menarik Hari Keluarga@Karnival Buku yang turut memasukkan peraduan membaca dan bercerita - Ibu Bapa & Anak, Ikon Hari Ini, yang menampilkan seniman Datuk Jins Shamsudin, Bacaan Kegemaran Saya oleh novelis remaja, Ahadiat Akashah dan Sembang Ilmu bersama Datuk Rahim Razali, Ally Iskandar dan Norzizi Zulkifli.
Pemilihan program-program itu adalah difikirkan sesuai untuk remaja serta dikhususkan kepada ibu bapa yang menjadi pihak paling penting untuk menanam aspek yang harus ada dalam generasi muda negara demi melahirkan modal insan yang berkualiti.
Ibu bapa juga pihak yang perlu menanamkan kesedaran yang tinggi di kalangan anak-anaknya untuk menjadikan membaca sebagai budaya atau satu gaya hidup.
‘‘Kempen seperti ini bukanlah sesuatu yang baru tetapi sudah digerakkan sejak beberapa tahun yang lalu,’’ Rafie mengingatkan sebelum menambah, untuk menjadikan ia satu budaya, kempen dan pendekatannya perlu diulang-ulang, tidak terkecuali kempen membaca.
‘‘Bahawa membaca adalah satu tabiat yang murni yang patut ada pada diri setiap anggota masyarakat adalah kenyataan yang sudah banyak diulang-ulang.
‘‘Biar berapa banyak kali diulang pun, orang masih menganggap membaca itu sebagai satu kerja mengisi masa lapang, dan bukan sebagai satu tanggungjawab untuk meningkatkan keterampilan diri.’’
Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam ucapan perasmiannya pada Jumaat lalu pula berkata, kerajaan telah melakukan banyak perkara untuk menyedarkan masyarakat tentang kepentingan tabiat itu.
‘‘Namun perangkaan menunjukkan kita belum setanding dengan negara maju lain.
‘‘Bagaimana kita ingin menguasai dunia tanpa sempadan ini andainya rakyat masih rendah tahap pembacaannya dan rendah juga mutu bahan yang dibaca,’’ katanya.
Itulah juga dilema yang dihadapi oleh kempen seperti Program Gerak Baca 2007 ini, yang digerakkan untuk mengubah pemikiran masyarakat supaya cintakan buku.
Tetapi kalau kita bersetuju, tiada siapa boleh memaksa kita membaca - tidak juga mana-mana kempen yang telah digerakkan selama ini.
Dan barangkali masanya sudah sampai untuk kita menukar corak pendekatan menarik orang supaya lebih minat membaca.
‘‘Mungkin pada masa akan datang kita boleh mencuba apa yang dilakukan oleh beberapa bandar raya maju di dunia yang mengadakan program membaca sebuah buku selama seminggu atau sebulan.
‘‘Tetapi kita juga telah adakan sebelum ini, Bulan Membaca, apa yang diperoleh, masyarakat kita barangkali membaca untuk bulan itu sahaja dan melupakan buku selepas bulan lain mengambil tempat. Kita tidak mahu seperti itu, kita hendak membaca jadi budaya sepanjang hayat.’’
Dan itulah sebabnya ia berbalik semula kepada kempen yang paling berkesan – tentulah yang digerakkan oleh ibu bapa sendiri di rumah masing-masing, tegas Rafie lagi, yang juga merupakan Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP).
Katanya, anak-anak perlu ditunjukkan bahawa membaca itu bukan hanya untuk masuk peperiksaan.
Apabila anak-anak melihat ibu bapa yang dekat dengan buku, mereka sendiri akhirnya akan terbiasa dan tidak kekok memegang buku, baik sebelum tidur, ketika menunggu bas atau sambil menunggu kawan di kedai atau restoran makanan segera.
Dengan kata lain, menurut beliau, buku harus menjadi satu benda yang hidup dalam diari harian mereka – sebagai hadiah hari jadi, cenderamata atau sebagai bahan perbualan seisi keluarga.
‘‘Hanya dengan itu saja kita dapat melahirkan masyarakat yang menjadikan membaca sebagai satu gaya hidup mereka - apabila perubahan kecil di rumah secara kolektifnya akan menjadi perubahan dalam masyarakat dan negara,’’ ujarnya.



-Bagi saya, membaca amat penting.Kepentingan membaca di kalangan masyarakat wajar dipupuk menerusi pelbagai mekanisme, antaranya menerusi peranan media massa, pelaksanaan kempen dan sebagainya.Bagaimanapun, sikap menolak atau tidak suka membaca kini menjadi ancaman kepada sebahagian besar pelajar hari ini.Memang kecewa apabila melihat mereka lebih suka menghabiskan masa dengan sia-sia sama ada berborak kosong atau menonton televisyen.Lebih menyedihkan apabila mereka lebih gemar membeli atau menumpukan perhatian pada bahan yang tiada kaitan dengan pelajaran seperti komik dan novel picisan berbanding buku akademik.Bukan tidak boleh membacanya namun, ia tidak membantu mengembangkan minda sedangkan salah satu matlamat membaca adalah untuk memperkukuhkan ilmu dan kemahiran berfikir secara kreatif, kritis selain membantu dalam peperiksaan.Sokongan ibu bapa juga dialu-alukan seperti kerap membelikan buku bacaan berfaedah atau rajin membawa ke gedung buku. Ini secara tidak langsung boleh mencambah minat selain memantapkan kemahiran dalam pencarian ilmu.Oleh itu sekiranya ada tanggapan berbeza mengenai kepentingan membaca ini, ia perlu diubah kerana hanya dengan pembacaan saja, pencarian ilmu, pembinaan minda serta kemahiran akan tercapai.

Nasihat saya, teruskan membaca!

0 comments: